Kemenangan bergaya 4-0 ke atas Vietnam sememangnya memberi suntikan semangat buat skuad Harimau Malaya dalam kempen Kelayakan Piala Asia 2027, namun tonggak tengah baharu negara, Hector Hevel mengingatkan bahawa perjuangan sebenar pasukan masih jauh dari garisan penamat.
Hevel, 29, yang beraksi cemerlang mengemudi jentera tengah Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, tampil berhemah mengawal tempo perlawanan serta menjadi penghubung efektif antara pertahanan dan serangan. Bersama Nooa Laine, kedua-dua pemain berjaya merantai gerakan lawan sehingga Vietnam gagal memecah benteng Malaysia.
“Ia permulaan yang baik, tetapi belum berakhir. Masih ada empat lagi perlawanan menanti kami. Kami perlu perkemaskan lagi permainan dan terus memburu kemenangan,” ujar Hevel sejurus tamat perlawanan.
Ketenangan di Tengah Padang
Bukan sekadar pengawal rentak, Hevel juga memainkan peranan besar dalam mengekang ancaman Vietnam dengan disiplin tinggi di bahagian tengah. Pemain kelahiran Belanda yang mempunyai darah keturunan Malaysia itu turut menjadi watak penting ketika Malaysia menewaskan Nepal 2-0 dalam aksi pembukaan kempen Mac lalu, di mana beliau turut mencatat nama selaku penjaring.
“Mereka (Vietnam) pasukan yang baik, kami sedar bukan mudah menewaskan mereka. Namun, kami sudah menganalisis permainan mereka dan akhirnya kami berjaya meraih kemenangan,” tambah Hevel.
Dengan corak permainan sebegini, Hevel kini semakin mantap menerajui barisan tengah Harimau Malaya. Ramai pemerhati bersetuju, beliau kini boleh dianggap sebagai “otak” utama pasukan di medan tengah.
Susur Galur Warisan Malaysia
Setelah sekian lama merahsiakan susur galurnya, Hevel akhirnya mendedahkan bahawa beliau memiliki pertalian darah dengan Malaysia menerusi datuknya yang berasal dari Melaka.
“Ya, datuk saya berasal dari Melaka,” jelas Hevel ringkas dalam sidang media. Pendedahan itu sekaligus memperkukuhkan lagi ikatannya dengan jersi Harimau Malaya yang kini disarung dengan penuh kebanggaan.
Kemenangan ke atas Vietnam sememangnya satu permulaan yang ideal, namun Hevel tegas mengingatkan rakan sepasukan bahawa tugas sebenar baharu sahaja bermula. Dengan baki empat perlawanan getir, Malaysia perlu mengekalkan momentum konsisten bagi merealisasikan impian layak ke Piala Asia 2027.
“Nampak seperti kami sudah berpuas hati, tapi sebenarnya kami masih belum puas,” katanya sambil menegaskan tekadnya untuk terus membantu Malaysia melakar sejarah.
Selain cemerlang di pentas antarabangsa, Hevel turut bakal memulakan fasa baharu dalam karier kelab apabila sah meninggalkan kelab Portugal, Portimonense SC untuk menyertai gergasi Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT). Kehadirannya ke skuad Harimau Selatan pastinya memperkukuhkan lagi barisan tengah JDT yang sedia mantap dalam kancah domestik dan Asia.
Penilaian Prestasi Hector Hevel: 7/10
Berikut penilaian prestasi Hector Hevel dalam aksi menentang Vietnam:
Posisi & Kawalan:
Sentiasa berada pada kedudukan yang tepat, memudahkan pengagihan bola dan kawalan tempo serangan.
Kreativiti & Hantaran:
Bijak membuka ruang dan melakukan hantaran jarak jauh yang kerap mengancam pertahanan lawan.
Kesedaran Taktikal & Kepimpinan:
Sentiasa membantu pemain baru adaptasi ‘gameplay’, menunjukkan sisi pemimpin dalam pasukan — sesuatu yang turut beliau tekankan sebelum perlawanan.