Aksi Liga Super Tertunda: Perak FC vs JDT
Tarikh: 27 September 2024 (Jumaat)
Masa: 8:15 Malam
Venue: Stadium Ipoh, Perak
Siaran Langsung: Astro Arena
Perlawanan tertunda minggu ke-9 Liga Super akan menyaksikan pertembungan sengit antara Perak FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT). Skuad kendalian Hector Bidoglio masih berada dalam euforia selepas kejayaan menumpaskan Shanghai Shenhua 3-0 di peringkat AFC Champions League Elite.
Dalam persediaannya menghadapi Perak FC, Bidoglio mengakui bahawa perlawanan ini sangat penting untuk mengekalkan momentum kemenangan pasukan:
“Ia perlawanan penting bagi kami kerana mahu mengekalkan momentum kemenangan, namun dalam membuat percaturan bagi menghadapi Perak, kami tetap berwaspada dengan taktik permainan lawan,” katanya.
JDT jelas tidak mengambil mudah ancaman daripada pasukan lawan, kerana Perak telah memenangi tiga perlawanan terakhir mereka dan berada dalam moral yang tinggi. Bidoglio menambah:
“Mereka menang tiga perlawanan terakhir dan moral mereka juga tinggi untuk berusaha menafikan kemenangan kami. Tetapi kami akan turun beraksi dengan lebih dinamik dan mengekalkan intensiti tinggi.”
Di kem Perak FC, prestasi mereka yang kian meningkat jelas memberikan cabaran kepada JDT. Dengan empat kemenangan daripada lima aksi terakhir, termasuk kemenangan 3-0 ke atas Sri Pahang, pasukan Perak pastinya tidak akan memberi laluan mudah kepada Harimau Selatan. Dengan kelebihan bermain di tempat sendiri, mereka akan berusaha untuk mengatasi dominasi JDT.