Iskandar Puteri 1 Oktober 2024 –
Johor Darul Ta’zim (JDT) memanfaatkan kelebihan bermain di laman sendiri apabila berjaya menewaskan gergasi China Shanghai Shenhua FC dengan keputusan 3-0 dalam aksi AFC Champions League Elite (ACLE) yang penuh dengan aksi menarik di Stadium Sultan Ibrahim dihadapan 31,386 penonton yang hadir.
Kemenangan ini bukan sahaja mengukuhkan kedudukan JDT di tangga kedua Zon Timur dengan 4 mata tetapi juga membuktikan kekuatan serangan dan pertahanan pasukan bimbingan Hector Bidoglio yang semakin matang di pentas Asia. Shanghai Shenhua yang turun dengan reputasi sebagai pasukan kuat gagal untuk menembusi benteng JDT sepanjang perlawanan.
JDT memulakan permainan dengan serangan pantas dan bertenaga yang bertali arus. Arif Aiman Hanapi sekali lagi berjaya menjadi tumpuan dengan gol pertama seawal minit ke-11. Dibantu oleh hantaran tepat daripada Juan Muniz Arif Aiman dengan lincah melepasi kawalan pertahanan Shanghai Shenhua sebelum melepaskan rembatan kencang ke penjuru kiri gol menewaskan penjaga gol Bao Yaxiong. Gol ini menjadi pembuka tirai kepada dominasi JDT dalam perlawanan ini.
MUDAH BUAT ARIF AIMAN!#ACLElite pic.twitter.com/55YLmAfHuT
— ASTRO ARENA (@ASTROARENA) October 1, 2024
Oscar Aribas hampir membuka akaun jaringan ACLE namun gol itu dibatalkan selepas semakan VAR mendapati beliau berada dalam kedudukan offside.
Jorge Obregon yang sebelum ini terlepas beberapa peluang akhirnya mendapat peluang yang terhidang. Hantaran lintang daripada Murilo Henrique disempurnakan oleh Obregon menerusi tandukan tepat menambah jaringan kedua untuk JDT.
JDT menamatkan separuh masa pertama dengan kedudukan 2-0 yang selesa hasil jaringan Arif Aiman dan Jorge Obregon.
Lompatan tinggi Jorge Obregon menambah satu lagi jaringan buat JDT!
— ASTRO ARENA (@ASTROARENA) October 1, 2024
Anak buah Hector Bidoglio, selesa bersama dua gol menuju ke separuh kedua.#ACLElite pic.twitter.com/j9Pr0v8vql
Pada babak kedua JDT bijak memperlahankan tempo permainan untuk mengawal serangan balas Shanghai Shenhua. Dengan kelebihan 2-0 pada separuh masa pertama JDT menggunakan strategi ini dengan baik bagi mengelakkan tekanan daripada lawan.
JDT terus mengukuhkan kedudukan apabila Juan Muniz menyudahkan sepakan percuma dari jarak 25 meter pada minit ke-80. Sepakan cantik itu tepat ke penjuru kanan gol memastikan JDT meraih kemenangan mutlak 3-0 seterusnya meletakkan beliau sebagai Pemain Terbaik Perlawanan (Man of the Match).
Selain serangan yang tajam barisan pertahanan JDT yang diketuai oleh Shane Lowry, Eddy Israfilov dan Park Jun Heong cukup berdisplin. Shanghai Shenhua gagal menembusi benteng pertahanan JDT malah hampir tidak mempunyai peluang besar untuk mencipta jaringan sepanjang perlawanan.
Shanghai Shenhua mengalami nasib malang apabila pemain tengah utama mereka Joao Teixeira terpaksa dikeluarkan pada minit ke-15 selepas mengalami kecederaan. Ketiadaannya memberikan ruang kepada JDT untuk menguasai kawasan tengah. Selain itu beberapa insiden kekasaran dan layangan kad kuning diberikan sepanjang perlawanan termasuk kepada C Malele dari Shanghai Shenhua pada minit ke-69 dan Murilo dari JDT pada minit ke-73.
Dengan kemenangan 3-0 ini Johor Darul Ta’zim melonjak ke tangga kedua Zon Timur dengan 4 mata hanya ketinggalan 2 mata di belakang pendahulu Gwangju FC dari Korea Selatan. Kemenangan ini mengukuhkan kedudukan JDT dalam misi mereka untuk melangkah lebih jauh dalam saingan ACL Elite.
Fuhhh, jahat betul 🔥
— ASTRO ARENA (@ASTROARENA) October 1, 2024
Johor Darul Ta'zim 3 - 0 Shanghai Shenhua.#ACLElite pic.twitter.com/T2H6RXXORy